Biologi umum dan habitat Ayam

Bagi sesetengah baka, ayam jantan dewasa dapat dibezakan daripada yang betina dengan balung yang lebih besar.

Ayam merupakan haiwan maserba (omnivor).[10] Ayam liar lazimnya mengais tanah dengan cakar untuk mencari benih, serangga ataupun haiwan yang lebih besar seperti cicak, ular kecil ataupun tikus muda.[11]

Ayam boleh hidup selama lima ke sepuluh tahun bergantung pada bakanya.[12] Ayam yang tertua di dunia pernah tercatat merupakan Matilda si ayam betina yang mati akibat kegagalan jantung pada umur 16 tahun, menurut Guinness World Records.[13]

Ayam jantan sering dibezakan daripada ayam betina dengan bulu ekor yang lebih panjang dan berkilat dan bulu sua yang runcing di leher, yang lazimnya berwarna cerah dan garang berbanding ayam betina yang sama bakanya. Akan tetapi dalam sesetengah baka, misalnya ayam Sebright, yang jantan bulu suanya tidak terlalu runcing, apatah lagi sama warna dengan yang betina. Jantina ayam dikenal pasti dengan memandang bentuk balung ataupun perkembangan cakar susuh atau jalu pada kaki ayam jantan (dalam sesetengah baka, anak ayam pun dibezakan jantina daripada warna). Ayam dewasa mempunyai jambul yang berisi pada kepala yang dipanggil balung, dan kelepak kulit yang terjuntai pada paruh yang dipanggil pial. Kesemua bonggol daging yang terdedah pada kepala dan leher ini dipanggil karunkel. Ayam jantan dan betina sekali gus berbalung lagi berpial, tetapi lebih ketara pada yang jantan kebanyakan baka.

Sesetengah baka ayam mengalami mutasi yang berupa seakan-akan "janggut" iaitu bulu yang lebih lebat di bawah muka ayam. Ayam yang dibela jinak tidak mampu terbang jarak jauh, sungguhpun ayam yang ringan-ringan pada umumnya mampu terbang jarak dekat, misalnya secukup melompat pagar atau menghinggap pokok (iaitu tempat bertenggek semula jadinya). Sekali-sekala ada ayam yang terbang sekejap-sekejap untuk menjelajah sekeliling, tetapi pada umumnya hanya untuk melarikan diri dari bahaya.

Kelakuan

Ayam betina dengan anak-anak, India

Kelakuan sosial

Ayam merupakan unggas yang gemar hidup berkelompok dalam kawanan dan mengambil pendekatan gotong-royong untuk mengeram telur dan membesarkan anak. Setiap kawanan dikuasai oleh beberapa ekor ayam dalam suatu sistem bertatatingkat (pecking order) di mana ayam yang berkuasa diberi keutamaan untuk peruntukan makanan dan tempat bersarang. Mengalihkan ayam jantan mahupun betina dari kawanan menyebabkan gangguan sementara dalam aturan sosial kawanan sehingga tatatingkat baharu ditubuhkan. Menambahkan ayam betina baharu ke dalam kawanan lama, lebih-lebih lagi yang muda-muda, boleh menyebabkan pergaduhan dan kecederaan.[14]Apabila ayam jantan mencari makanan, ia boleh menyuruh ayam lain untuk makan dahulu dengan berkokok nyaring-nyaring sambil memungut lalu meletakkan makanan. Kelakuan ini boleh diperhatikan pada ayam betina yang menyuruh anak-anak makan dahulu.

Mengawan

Untuk memulakan pengawanan, sesetengah ayam jantan menari di keliling ayam betina sambil menurunkan kepak yang dekat sekali dengan si betina itu.[15] Tarian ini menggesa ayam betina untuk menyahut pelawaan si jantan[15] dan apabila ia menyahut, si jantan boleh menunggang si betina dan terus mengawan.

Bersarang dan bertelur

Telur ayam berwarna berbeza-beza bergantung pada ayam betina, biasanya berwarna putih terang ke perang dan juga biru, hijau, dan baru-baru ini ungu (ditemui di Asia Selatan) (varieti Araucana).Anak ayam belum keluar reban.

Selalunya ayam betina cuba bertelur dalam sarang yang sudah pun mengandungi telur, malah diketahui ia gemar memindahkan telur dari sarang jiran ke sarang sendiri. Kesan daripada perilaku ini ialah kawanan akan menggunakan beberapa lokasi yang diutamakan sahaja daripada merelakan setiap ekor bersarang sendiri. Ayam betina pun cenderung untuk bertelur di lokasi yang sama sahaja. Ada juga dua tiga ekor ayam berkongsi satu sarang sekali gus. Jika sarangnya kecil ataupun ada seekor ayam yang terlalu nekad, jadilah ayam cuba bertelur di atas satu sama lain. Terbukti bahawa setiap ekor ayam sama ada lebih gemar bersarang dengan bersendirian atau berkelompok.[16] Ada penternak yang menggunakan telur tiruan daripada plastik, batu mahupun bola golf untuk menggalakkan ayam bertelur di lokasi tertentu.

Naluri mengeram

Lazimnya ayam bertelur hanya sehingga lengkap satu sangkak (sepenuh sarang, iaitu lebih kurang 12 biji telur), dan kemudian ia mengeram semua telur dengan "duduk" di atas sangkaknya. Jarang sekali ia turun dari sarang, itu pun hanya untuk makan, minum atau bermandi debu. Jika diganggu atau diangkat, si ayam akan melawan dengan berkepak, mencakar atau mematuk. Ayam yang sedang mengeram itu menjaga sarang pada suhu dan kelembapan yang malar dan juga sering menggolekkan telurnya di awal-awal pengeraman. Untuk merangsang rasa hendak mengeram, penternak boleh meletakkan telur tiruan di dalam sarang, ataupun untuk menghentikan eraman dia boleh meletakkan ayamnya di dalam sangkar tinggi dengan dasar dawai berliang-liang.

Tengkorak ayam usia tiga minggu. Tulang opistotik terdapat di bahagian oksipital seperti pada Chelonian dewasan. bo = Basi-oksipital, bt = Basi-temporal, eo = Opistotik, f = Frontal, fm = Foramen magnum, fo = Fontanella, oc = Kondil oksipital, op = Opistotik, p = Parietal, pf = Post-frontal, sc = Salur sinus dalam supra-occipital, so = Supra-oksipital, sq = Skuamosal, 8 = Salur keluar saraf vagus.

Sesetengah baka ayam petelur moden kurang naluri mengeramnya dan sering berhenti mengeram sekerat jalan. Akan tetapi, sesetengah baka "kegunaan am" seperti ayam koci, Cornish dan ayam sutera seringkali mengalami naluri mengeram, malah cemerlang sebagai induk, bukan sahaja dalam kalangan ayam bahkan juga segala spesies burung, termasuklah yang lain saiz telur atau tempoh mengeramnya seperti puyuh, kuang, ayam belanda mahupun angsa. Telur ayam juga boleh menetas di bawah itik mengeram, tetapi tidak semestinya berhasil.

Menetas dan awal umur

Di akhir tempoh mengeram (kira-kira 21 hari),[15] telur yang subur akan menetas. Perkembangan telur hanya bermula apabila pengeraman bermula, jadi semua telur menetas masing-masing dalam selang satu dua hari antara satu sama lain walaupun dieram sekata selama kira-kira dua minggu. Sebelum menetas, si ayam betina boleh terdengar anaknya berkicau-kicau di dalam telur dan akan berkokok perlahan-lahan untuk merangsang anaknya itu untuk keluar dari telur.

Anak ayam mula keluar dengan mematuk-matuk kulit telur dengan "gigi telur" untuk menebuk lubang pada di sekitar puncak telur. Kemudian si anak berehat berjam-jam untuk menyerap kuning telur yang tinggal serta menyedut bekalan darah dari membran di dasar kulit (yang digunakan untuk bernafas melalui kulit dahulu). Kemudian ia membesarkan lubang hingga beransur-ansur bulat, dan akhirnya mematahkan puncak telur hingga menjadi "tudung". Kemudian ia merangkak keluar dari sisa kulit telur, dan punggungnya yang lembab mengering dalam kehangatan sarang.

Si ayam betina lazimnya kekal dalam serang selama dua hari selepas telur pertama menetas, dan ketika ini anak yang baru menetas bergantung hidup pada kuning telur yang diserapnya sejurus sebelum menetas. Sebarang telur yang belum disuburkan oleh ayam jantan tidak akan menetas, dan akhirnya si ayam betina putus harapan pada telur-telur berkenaan dan meninggalkan sarang. Setelah menetas, si ayam betina menjaga anak dengan bengis, mula-mula sering kembali ke sarang pada malam hari, malah akan mengerami mereka untuk memanaskan apabila perlu. Si ibu ayam memimpin anak-anaknya kepada makanan dan air; ia memanggil mereka ke arah benda-benda yang boleh dimakan, tetapi jarang menyuap secara terus. Ia terus menjaga anak hingga umur beberapa minggu, kemudian ia memutuskan hubungan dengan anak-anak yang sudah besar dan kembali bertelur semula.

Embriologi

Pada tahun 2006, saintis yang menyelidik keturunan burung telah "menghidupkan" gen resesif ayam talpid2 lalu mendapati bahawa rahang embrio memulakan pembentukan gigi seperti yang terdapat pada fosil burung purba. John Fallon selaku penyelia projek menyatakan bahawa ayam telah "...mengekalkan kemampuan untuk bergigi dalam keadaan tertentu... ."[17]